Peranan ibu bapa dalam pembetukan tingkahlaku kanak-kanak
Peranan ibu bapa dalam pembetukan tingkahlaku
kanak-kanak
Pembentukan anak yang baik
terletak di bahu dan menjadi tanggungjawab bagi setiap ibu bapa. Kejayaan ibu
bapa mendidik dan membentuk anak yang berbudi pekerti sebenarnya banyak
bergantung kepada ciri-ciri yang dimiliki oleh ibu bapa. Sikap keibubapaan amat
mempengaruhi pengalaman dan perkembangan anak-anak apabila mereka meningkat
dewasa kelak. Anak yang berperibadi baik terbentuk melalui proses sosialisasi
iaitu mereka mempelajari budaya ibu bapa dan keluarganya. Menurut Jayaletchumi
et al. (2002), anak-anak akan diterapkan dengan nilai, norma, status dan
peranan yang wujud dalam sesebuah keluarga.
Dari perspektif Islam, keibubapaan dilihat sebagai penetapan
status atau nasab yang wujud diantara ibu bapa dengan anak yang mana merangkumi
aspek menunaikan hak dan tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak. Peranan gaya
keibubapaan yang dipertanggungjawabkan oleh ibu bapa amat penting sekali untuk
membentuk anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan mengelakkan daripada
berlakunya sebarang perbuatan devian. Selain itu, anak-anak juga perlu
diberikan kepercayaan iaitu dengn memberikan autonomi kepada mereka dalam membuat
keputusan terutamanya tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan diri dan
masa depan mereka. Menurut Nooraini dan Salasilah (2013), usaha untuk
menghasilkan insan yang berkualiti sangat berkait rapat dengan cara didikan
yang diterima. Pendidikan adalah bertujuan untuk membangunkan modal insan
kerana ia juga berkait dengan usaha membina dan mendisiplinkan diri dari segi
pemikiran, kerohanian , emosi dan fizikal.
Sistem pendidikan negara seharusnya menyediakan asas yang kukuh
tentang ilmu keibubapaan kerana keluarga merupakan unit masyarakat yang
menyumbang terhadap proses pembangunan negara (Sidek Baba, 2007). Ini bagi
memastikan kesinambungan di antara proses pembentukan insan yang seimbang yang
bermula dari rumah dan di sekolah. Sehubungan itu, semua pihak perlu memainkan
peranan sebaik mungkin bagi memastikan masa depan dan perkembangan anak-anak
berkembang secara holistik.
Comments
Post a Comment